Wakaf Selangor Muamalat menyumbang sebuah van kepada PERKIM Banting dan anggota palsu kepada kanak kanak di Palestin melalui MyCare. Majlis sumbangan ini diadakan di pejabat PERKIM di Banting. Y.Bhg. Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr. Abd Rahman Arshad, Pengerusi Wakaf Selangor Muamalat telah menyerahkan sendiri sumbangan tersebut kepada Pengerusi PERKIM Banting dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah My Care.
PERKIM adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkonsepkan kebajikan agama dan sosial. Ia menyediakan pelbagai perkhidmatan sosial, termasuk penginapan asrama, pengajaran agama, kaunseling, perkhidmatan pendidikan dan kesihatan. Ia juga menyediakan sokongan kepada orang miskin, orang-orang cacat dan juga golongan muallaf. Persatuan ini memerlukan sebuah van untuk membawa kanak-kanak ke sekolah dan saudara-saudara baru ke kelas bimbingan.
Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).MyCARE giat menjalankan pelbagai program kesedaran berkenaan kesukarelaan di dalam dan luar negara melalui jalinan kerjasama dengan pelbagai pihak seperti agensi kerajaan, korporat dan syarikat swasta. Wakaf Selangor Muamalat telah menyumbangkan set anggota palsu untuk 4 orang kanak-kanak di Palestin yang telah tercedera dan telah dikenalpasti oleh pihak MyCare. Sumbangan anggota palsu kepada kanak-kanak tersebut dapat membantu mereka berdikari dan pergi ke sekolah atau keluar mencari rezeki.
Y.Bhg. Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr Abdul Rahman Arshad berkata. “Wakaf Selangor Muamalat kini telah berusia empat tahun. Dengan saiz dana yang semakin berkembang, Wakaf Selangor Muamalat sentiasa mengenalpasti penerima yang layak. Di masa yang sama Wakaf Selangor Muamalat giat berusaha membesarkan dana supaya lebih ramai penerima dapat menerima manfaat wakaf ini. Sumbangan kenderaan dan anggota palsu ini diharap dapat memberi semangat kepada pelajar pelajar dan anak-anak Palestin untuk berusaha bersungguh-sungguh dan berjaya dalam hidup. Selain itu, sumbangan ini dapat mengeratkan hubungan Wakaf Selangor Muamalat dengan agensi bukan kerajaan (NGO) selain dapat menyampaikan amanah para pewakaf.
“Sehingga September tahun ini, Wakaf Selangor Muamalat telah menyumbang sebanyak RM 6,359,785.91 dalam bidang pendidikan dan kesihatan. Sumbangan kepada pendidikan termasuklah bangunan sekolah, van, dan projektor. Sumbangan dalam bidang kesihatan pula adalah klinik bergerak, mesin dialisis, mesin ultrabunyi, dan lain-lain peralatan perubatan.” katanya lagi.
Wakaf Selangor Muamalat adalah program kutipan dan agihan dana wakaf tunai yang telah dilancarkan pada 27 September 2012. Ia merupakan satu perkhidmatan yang ditubuhkan dari usahasama di antara Bank Muamalat Malaysia Berhad dan Perbadanan Wakaf Selangor. Ia bertujuan untuk memberi kemudahan kepada pelanggan Bank serta orang awam untuk berwakaf. Sumbangan wakaf ini akan diagihkan kepada dua sektor iaitu pendidikan dan kesihatan. Selain itu, dana ini disalurkan juga ke sektor pelaburan bagi mengembangkan nilai dana wakaf. Bank Muamalat melalui rangkaian cawangannya di Malaysia telah mengumpul dan menguruskan dana wakaf bersama-sama dengan Perbadanan Wakaf Selangor. Para penyumbang dana ini layak mendapat potongan cukai 7% dari pendapatan agregat individu dan 10% bagi korporat.