Hospital Sultanah Aminah (HSA), menerima sebuah mesin ultrasound yang bernilai hampir RM100,000 hasil sumbangan Wakaf Selangor Muamalat. Majlis penyampaian mesin tersebut disempurnakan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.
Raja Zarith Sofiah selaku Penasihat Diraja Bulan Sabit Merah Malaysia menyampaikan sumbangan tersebut kepada Dr Rooshaimi A Rahim Merican, Pengarah HSA. Tunku Aminah Sultan Ibrahim turut hadir dalam majlis berkenaan.
Dato’ Mohd Redza Shah Abdul Wahid, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Malaysia Berhad berkata, tujuan Wakaf Selangor Muamalat menyumbangkan mesin berkenaan adalah kerana ingin membantu pihak hospital agar faedahnya dapat dinikmati oleh pesakit. Di samping itu, sumbangan tersebut juga membawa mesej dan menjadi contoh kepada masyarakat tentang kebaikan amalan berwakaf.
Datuk Mohd Redza berharap sumbangan tersebut dapat dimanfaatkan sebaik mungkin.Hadir sama di majlis tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kesihatan negeri, Datuk Ayub Rahmat dan Pengarah Jabatan Kesihatan Johor, Datuk Dr Khairi Yakub. Dr Rooshaimi berkata, sehingga kini, bahagian onkologi sudah memiliki enam unit mesin ultrasound termasuk yang baru disumbangkan.
Fungsi mesin tersebut ialah memantau perkembangan bayi di dalam rahim, mengenalpasti pertumbuhan bayi yang tidak normal serta mengesan penyakit di ovari. Tambah Dr Rooshaimi, pihak hospital amat mengalu-alukan subangan seperti ini pada masa akan datang daripada mana-mana pihak.