Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melancarkan klinik bergerak Wakaf Selangor Muamalat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.
Majlis pelancaran tersebut dihadiri oleh wakil pengurusan tertinggi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Perbadanan Wakaf Selangor, KPJ Healthcare Berhad, Hospital Antarabangsa Beacon, dan Angkatan Tentera Malaysia.
Klinik bergerak adalah kerjasama Wakaf Selangor Muamalat dengan hospital terpilih. Melalui kolaborasi ini, Wakaf Selangor Muamalat akan menyediakan kenderaan yang diubahsuai menjadi klinik bergerak, manakala pihak hospital menyediakan petugas dan ubat-ubatan. Sejak Wakaf Selangor Muamalat ditubuhkan pada tahun 2012, Wakaf Selangor Muamalat telah menubuhkan 3
buah klinik bergerak. Dua buah daripadanya adalah dengan kerjasama Hospital Pakar KPJ Damansara, Selangor dan KPJ Perdana, Kota Bharu, Kelantan. Manakala sebuah lagi adalah dengan kerjasama Hospital Pakar Antarabangsa Beacon, Petaling Jaya, Selangor. Setiap klinik beroperasi mengikut lokasi yang telah ditetapkan dan sesekali beroperasi secara ‘ad-hoc’.
Antara jenis rawatan yang ditawarkan adalah seperti pemeriksaan tekanan darah, kencing manis, pemeriksaan penglihatan, pemeriksaan fizikal, khidmat konsultansi, dan sebagainya. Sehingga hari ini, klinik ini telah beroperasi di beberapa buah masjid, pangsapuri, depoh tahanan, dan pusat khidmat masyakarat di beberapa daerah di negeri Selangor. Ia juga pernah memberi rawatan kesihatan pada mangsa banjir di Gua Musang, Kelantan pada penghujung tahun 2014 dan awal tahun 2015 yang lalu.
“Sehingga kini, Wakaf Selangor Muamalat telah menyumbang sebanyak RM8,808,784.30 dalam bidang pendidikan dan kesihatan. Sumbangan kepada pendidikan termasuklah bangunan sekolah, van, dan projektor. Sumbangan dalam bidang kesihatan pula adalah klinik bergerak, mesin dialisis, tangki simpanan nitrogen, dan lain-lain peralatan perubatan.”
Wakaf Selangor Muamalat adalah program kutipan dan agihan dana wakaf tunai yang telah dilancarkan pada 27 September 2012. Ia merupakan satu perkhidmatan yang ditubuhkan dari usahasama di antara Bank Muamalat Malaysia Berhad dan Perbadanan Wakaf Selangor. Ia bertujuan untuk memberi kemudahan kepada pelanggan Bank serta orang awam untuk berwakaf. Sumbangan wakaf ini akan diagihkan kepada dua sektor iaitu pendidikan dan kesihatan. Selain itu, dana ini disalurkan juga ke sektor pelaburan bagi mengembangkan nilai dana wakaf. Bank Muamalat melalui rangkaian cawangannya di Malaysia telah mengumpul dan menguruskan dana wakaf bersama-sama dengan Perbadanan Wakaf Selangor. Para penyumbang dana ini layak mendapat potongan cukai 7% dari pendapatan agregat individu dan 10% bagi korporat.
Perbadanan wakaf selangor merupakan sebuah badan yang ditubuhkan atas titah perintah DYMM Tuanku Sultan Selangor bagi melaksanakan kuasa Majlis. Antara fungsi PWS adalah merancang, melaksanakan dan membangun perlaksanaan harta Wakaf di Negeri Selangor. Sebagai langkah yg proaktif, PWS telah menjalinkan kerjasama strategik dgn Bank Muamalat Malaysia Berhad dibawah produk Wakaf Selangor Muamalat.