Kuala Lumpur, 3 Mac 2025 – Jabatan Kewangan Sosial dan Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) telah menghadiri Majlis Penyerahan Replika Kunci Klinik Pergigian Bergerak Wakaf Selangor Muamalat – Universiti Malaya (WSM-UM) kepada DYMM Tuanku Sultan Selangor. Majlis telah diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
Dalam majlis tersebut, Pengerusi WSM, YBrs. Us. Azizi bin Che Seman telah menyerahkan replika kunci kepada DYMM Tuanku dan diiringi oleh Dato’ Haji Ibrahim bin Yusof, Pengerusi PWS. Seterusnya, DYMM Tuanku menyerahkan kunci tersebut kepada Naib Canselor UM, Prof Dato’ Seri Ir Dr Noor Azuan bin Abu Osman.
DYMM Tuanku Permaisuri Selangor dan DYMM Raja Muda Selangor turut meluangkan masa melawat klinik pergigian bergerak dan mendengar taklimat yang disampaikan oleh YBrs Prof Zamri bin Radzi, Timbalan Naib Canselor UM.
Klinik Pergigian Bergerak WSM-UM merupakan antara projek Wakaf Muamalat dan juga myWakaf AIBIM. Bank Muamalat komited memastikan sumbangan wakaf daripada orang ramai diagihkan ke projek-projek yang memanfaatkan komuniti.