Pada 15 – 16 Jun yang lalu, klinik bergerak Wakaf Selangor Muamalat telah bertandang ke utara Semenanjung Malaysia bagi memberi khidmat kesihatan kepada mereka yang memerlukan. Destinasi yang dituju adalah Madrasah Irsyad Al-Arsyad Al-Wataniah yang terletak di Sungai Bakap, Pulau Pinang. Madrasah ini meliputi sekolah agama dan pondok pengajian untuk warga emas.
Rombongan klinik bergerak terdiri daripada pasukan perubatan dan Urusetia. Pasukan perubatan diketuai oleh Dr Rozilah Hamir daripada Hospital Pakar KPJ Damansara.
Pada hari pertama, khidmat bermula pada pukul 2 petang. Seramai 90 orang telah mendapat rawatan dengan majoriti adalah warga emas. Mereka membuat pemeriksaan gula, tekanan darah dan mendapatkan bekalan ubat yang bersesuaian. Selain warga emas, terdapat beberapa orang pelajar telah
mendapatkan rawatan untuk penyakit seperti batuk, selesema dan panau. Klinik ditangguhkan pada pukul 6 petang.
Pada sebelah malamnya telah diadakan ceramah kesihatan yang disampaikan oleh Dr Rozilah. Ceramah diadakan di surau Madrasah. Dalam ceramah tersebut, beliau telah berkongsi mengenai pengambilan makanan seimbang, pengurusan stres dan menjalani gaya hidup yang sihat. Terdapat beberapa orang jemaah mengambil peluang bersoal jawab dengan Dr Rozilah. Ceramah disusuli dengan jamuan makan malam untuk semua penghuni pondok yang ditaja oleh Bank Muamalat Malaysia Berhad.
Program diteruskan pada hari kedua. Klinik dibuka seawal pukul 8 pagi. Klinik hari ini turut dibantu oleh jururawat dari Hospital KPJ Pulau Pinang. Bilangan pesakit hari ini lebih ramai berbanding hari sebelumnya. Guru-guru dan pelajar Madrasah turut mendapatkan rawatan. Walaupun pesakit agak ramai, namun pasukan perubatan sentiasa tenang dan melayan pesakit dengan baik. Klinik ditutup pada pukul 12 tengahari. Jumlah keseluruhan pesakit sepanjang 2 hari klinik bergerak beroperasi di Sg. Bakap adalah seramai 203 orang.
Urusetia Wakaf Selangor Muamalat amat berterima kasih kepada pihak KPJ Damansara dan KPJ Pulau Pinang atas kerjasama dan khidmat yang amat professional. Urusetia dan pihak KPJ juga merakamkan terima kasih kepada Ustaz Roslan dan kakitangan Madrasah Al-Irsyad atas sokongan dan layanan yang amat baik yang telah diberi. Klinik bergerak Wakaf Selangor Muamalat komited untuk bergerak ke seluruh pelusuk negara demi membantu golongan yang memerlukan. Khidmat ini adalah jariah yang disumbangkan oleh individu dan syarikat yang telah menyumbang kepada Wakaf Selangor Muamalat.