Wakaf Selangor Muamalat menyumbang kos membesarkan surau wanita dan kantin kepada Sekolah Menengah Tahfiz Harapan, Kuala Langat. Jumlah sumbangan adalah RM71,600. Majlis sumbangan ini telah diadakan di Sekolah Menengah Tahfiz Harapan, Kuala Langat. Y.Bhg. Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr. Abd Rahman Arshad, Pengerusi Wakaf Selangor Muamalat telah menyerahkan sendiri sumbangan tersebut kepada Ustaz Mohamad Rafee bin Wagimin, Pengetua Sekolah Menengah Tahfiz Harapan.
Sekolah Menengah Tahfiz Harapan ditubuhkan pada tahun 1997 dan berdaftar di bawah Jabatan Agama Islam (JAIS) dan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS). Sekolah ini mempunyai 160 orang pelajar dari tingkatan 1 hingga tingkatan 5.
Pengajian Tahfiz mula ditawarkan pada tahun 2001. Kurikulum yang ditawarkan adalah mengikut kurikulum Kementerian Pelajaran Malaysia dan JAIS. Sepanjang penubuhannya, beberapa pencapaian positif telah dicapai oleh para pelajar sama ada di peringkat kampung, daerah, dan kebangsaan seperti pertandingan nasyid dan hafazan Al-Quran.
Y.Bhg. Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr Abdul Rahman Arshad berkata. “Wakaf Selangor Muamalat komited mengumpul dana dari orang ramai dan mencari penerima yang layak. Wakaf Selangor Muamalat sentiasa berusaha membesarkan dana supaya lebih ramai penerima dapat menerima manfaat wakaf ini. Sumbangan peralatan ini diharap dapat memberi semangat kepada pelajar-pelajar untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh dan berjaya dalam hidup. Wakaf Selangor Muamalat menyokong usaha Sekolah ini memberi keselesaan kepada pelajar dan berharap agar sumbangan yang tidak seberapa ini dapat dimanfaan sebaiknya oleh para pelajar.
“Sehingga Februari tahun ini, Wakaf Selangor Muamalat telah menyumbang sebanyak RM3,850,975.16 dalam bidang pendidikan dan kesihatan. Sumbangan kepada pendidikan termasuklah bangunan sekolah, van, dan projektor. Sumbangan dalam bidang kesihatan pula adalah klinik bergerak, mesin dialisis, tangki simpanan nitrogen, dan lain-lain peralatan perubatan.” katanya lagi.
Wakaf Selangor Muamalat adalah program kutipan dan agihan dana wakaf tunai yang telah dilancarkan pada 27 September 2012. Ia merupakan satu perkhidmatan yang ditubuhkan dari usahasama di antara Bank Muamalat Malaysia Berhad dan Perbadanan Wakaf Selangor. Ia bertujuan untuk memberi kemudahan kepada pelanggan Bank serta orang awam untuk berwakaf. Sumbangan wakaf ini akan diagihkan kepada dua sektor iaitu pendidikan dan kesihatan. Selain itu, dana ini disalurkan juga ke sektor pelaburan bagi mengembangkan nilai dana wakaf. Bank Muamalat melalui rangkaian cawangannya di Malaysia telah mengumpul dan menguruskan dana wakaf bersama-sama dengan Perbadanan Wakaf Selangor. Para penyumbang dana ini layak mendapat potongan cukai 7% dari pendapatan agregat individu dan 10% bagi korporat.