Tanggungjawab Sosial Ke Kubur Panjang, Alor Setar Kedah
Alhamdulillah dengan izin Allah S.W.T dan limpah kurnianya, Bank Muamalat Malaysia Berhad melalui Tabung Mawaddah dengan kerjasama ROKEB (Kelab Motosikal Berkuasa Tinggi BMMB) telah selesai menjalankan akitiviti Pengagihan Wang Zakat Perniagaan dengan mengadakan Program Tanggungjawab Sosial (CSR) di Masjid Jamek Sultan Abdul Halim, Pekan Kubur Panjang, Alor Setar dan Sekolah Rendah Islam Tarbiah Al-Awladiah, Jln Kubur Panjang, Kedah pada hari Sabtu, 14hb Februari 2015 bersamaan 24hb Rabiul Akhir 1436H yang lepas.
Objektif pada hari tersebut adalah untuk mewakili pihak pengurusan Bank Muamalat Malaysia Berhad untuk menyampaikan sumbangan berbentuk wang tunai sebanyak RM500-00 pada setiap seorang asnaf yang layak di bawah asnaf fakir dan miskin yang tinggal di daerah Pendang, Pokok Sena, Alor Setar, Baling, Yan dan Kuala Nerang seramai 105 orang. Disamping itu membuat lawatan ke Sekolah Rendah Islam Tarbiah Al-Awladiah.
Rombongan tiba pada sekitar pukul 11.00 pagi dan telah menyampaikan sumbangan berbentuk wang tunai sebanyak RM500-00 pada setiap seorang asnaf. Program ini dijayakan bersama AJK Masjid Jamek Sultan Abdul Halim sendiri.
Seterusnya penyerahan sumbangan wang tunai sebanyak RM1,000-00 kepada Sekolah Rendah Islam Tarbiah Al-Awladiah, Kubur Panjang yang mana memerlukan dana untuk membina sebuah bangunan sekolah yang akan menempatkan pelajar-pelajar.
Pengagihan zakat ini telah disampaikan oleh Puan Saidatul Leiza Suleiman, Ketua Jabatan Komunikasi Korporat dan Sheikh Mohamad Abdullah, Timbalan Pengerusi Masjid Sultan Abdul Halim.
Diharapkan dengan adanya majlis seperti ini ianya dapat meningkatkan kesedaran dikalangan masyarakat untuk menunaikan kefarduan zakat dan akhirnya akan dapat mewujudkan satu masyarakat yang saling mengambil berat antara satu sama lain terutamanya kepada isi rumah Muslim yang mengalami kemiskinan tegar agar dapat dikurangkan secara beransur-ansur.Semoga usaha kita ini mendapat kerahmatan dan keberkatan dari Allah swt dalam menjalankan perniagaan ini.
InsyaAllah.