Lambaian Kaabah 2015 – Panggilan Umrah ke tanah suci
Lambaian Kaabah 2015 – Panggilan Umrah ke tanah suci
Menjalani ibadah Umrah dan juga ibadah puasa di bulan Ramadhan di Tanah Suci amat besar ganjaran pahalanya. Malah ada hadis Nabi s.a.w yang menyatakan “sesiapa yang melakukan Umrah dalam bulan Ramadhan seolah-olah mereka mengerjakan Haji bersama-sama denganku.” Allahuakbar. Menunaikan ibadah Umrah dibulan Ramadhan menyamai ganjaran pahala Haji.
Sepertimana setiap kali menjelangnya Ramadhan, Bank Muamalat Malaysia Berhad dibawah Program Tanggungjawab Sosial Korporat telah menghantar kakitangannya untuk menunaikan Umrah. Pada tahun ini seramai 5 orang kakitangan beserta pasangan telah dipilih antara mereka adalah Mohamad Hairul Daaim dari Bahagian Perbankan Pengguna, Rosmala Hamdan dari Jabatan Penggurusan Kredit, Hazri Jamaludin dari Jabatan Komunikasi Korporat, Muhamad Anwar Shaharuddin dari Cawangan Jalan Melaka dan Mohd Sabri Mokhtar dari Cawangan Kuala Terengganu.
Semua Jemaah berangkat ke Makkah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 21 Jun 2015 dan transit di Lapangan Terbang Dubai dan seterusnya ke Lapangan Terbang Jeddah. Di Dubai para jemaah akan menukar pakaian Ihram, solat sunat di Lapangan Terbang Dubai dan seterusnya bermiqat dalam penerbangan.
Rombongan Lambaian Kaabah tiba di Jeddah sekitar waktu maghrib, oleh itu perjalanan terpaksa dilewatkan dan para jemaah hanya dibenarkan masuk ke Tanah Haram kira-kira jam 2.30 pagi kerana jalan-jalan terpaksa ditutup untuk memberi laluan kepada jemaah-jemaah yang berjalan kaki ke Masjidil Haram sebelum dan selepas solat trawikh. Sejurus sampai jemaah hanya diberi masa setengah jam untuk memasukkan beg pakaian ke dalam hotel dan seterusnya ke Masjidil Haram untuk memulakan Umrah pertama kira-kira jam 3.30 pagi. Alhamdulilah Jemaah Bank Muamalat Malaysia Berhad dapat menjalankan ibadah Umrah dengan tenang dan sempurna, begitu juga untuk Umrah kedua hingga keempat.
Untuk makluman suhu di Makkah memang luar biasa panasnya. Waktu Subuh biasanya suhu sekitar 36 darjah celcius. Manakala pada waktu Zohor pula suhu sekitar 47 darjah celcius dan pernah mencecah 52 darjah celcius. Untuk makluman, pada musim panas waktu siang lebih lama berbanding waktu malam. Manakala di musim sejuk, waktu malam pula yang lebih panjang berbanding waktu siangnya. Waktu Subuh di Makkah ialah sekitar jam 4.15 pagi dan waktu Maghrib (berbuka puasa) pula pada jam 7.10 malam. Dan Solat Isyak di Masjidil Haram bermula pada jam 9 malam, manakala selepas itu dilangsungkan Solat Terawikh yang biasanya selesai pada jam 11 malam atau lebih. Cuaca di Madinah tidak berapa panas dan suasana agak lebih tenang dan teratur berbanding di Kota Makkah yang sentiasa sibuk.
Kami turut mengambil kesempatan berbuka di Masjid di Kota Makkah dan Madinah bersama-sama jemaah-jemaah lain dari pelbagai negara dengan hanya berbuka beberapa biji kurma dan minum air zam-zam. Ada juga dihidangkan teh gahwa panas, yogurt dan roti yang dibahagikai kepada 4 orang. Biasanya plastik safrah dibentangkan di hadapan jemaah yang duduk dan selesai berbuka plastik safrah ini akan dikutip oleh petugas masjid. Dan selepas itu Solat Maghrib pun didirikan. Selesai Solat Maghrib barulah mereka keluar dan balik ke hotel masing-masing untuk makan berat pula. Tetapi ramai juga yang mengambil keputusan untuk tidak keluar masjid sehingga selesai Solat Isyak dan Terawikh. Dan selepas itu barulah mereka makan berat pula. Kagumnya kami pada golongan sebegini kerana boleh menahan lapar dalam jangka waktu yang amat panjang. Semoga Allah memberikan ganjaran pahala dan merahmati mereka. Kebiasaanya kami akan makan dihotel selepas selesai solat Terawikh.
Selesai menunaikan ibadah Umrah, kami turut dibawa melawat tempat-tempat yang bersejarah selain melawat Makam Rasullullah SAW, antaranya adalah Makam isteri Rasullullah SAW adalah Saidatina Khadijah dan Saidatina Maimunah disemadikan di Kota Makkah manakala yang lainnya disemadikan di tanah perkuburan Baqi, bersebelahan Masjid Nabawi, Madinah. Para jemaah juga dibawa ke Jabal Rahmah, Jabal Tshur, Jabal Uhod dan Jabal Nur yang mempunyai sejarahnya tersendiri. Masjid Quba, Masjid Qiblatain, Masjid Siti Aisyah antara tempat para jemaah Umrah bermiqat, tidak ketinggalan para jemaah sempat mengunjungi Padang Arafah, Mudzalifah dan Mina dimana tempat para Jemaah mengerjakan Haji.
Di bulan Ramadhan ini jelas kelihatan sifat dermawan para jemaah. Masing-masing berlumba-lumba untuk dapatkan ganjaran pahala beramal di bulan Ramadhan. Semasa menuju ke Masjid, ramai yang memberikan makanan kepada jemaah berupa kurma dan minuman. Kenangan menunaikan Ibadah Puasa dan Umrah di bulan Ramadhan di Tanah Suci Makkah dan Madinah memang amat mengujakan.
Wassalam