Kegembiraan kembali ke sekolah bersama Bank Muamalat
Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) telah mengadakan Program Kembali Ke Sekolah di Ibu Pejabat Bank Muamalat, Menara Bumiputera, Kuala Lumpur hari ini.
Sumbangan yang diberi adalah dalam bentuk pakaian sekolah dan peralatan sekolah kepada 193 pelajar iaitu anak-anak kepada kakitangan syarikat yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan serta anak-anak dari keluarga yang kurang berkemampuan dan anak-anak Yatim dari Rumah Permata Rohani, Rumah Baitul Kasih dan Rumah Baitul Barokah untuk membeli-belah secara percuma.
Program ini telah disempurnakan oleh Y.Bhg. Tan Sri Dato’ Dr. Mohd Munir Abdul Majid, Pengerusi Bank Muamalat, bersama-sama dengan Y.Bhg. Dato’ Hj. Mohd Redza Shah Abdul Wahid, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Ahli Pengurusan Kanan dan kakitangan Bank Muamalat.
“Saya amat berbesar hati kerana kejayaan program ini, menunjukkan sekali lagi sikap murah hati warga Bank Muamalat dalam membantu mereka yang memerlukan kerana segala sumbangan adalah daripada kakitangan Bank Muamalat sendiri.,” kata Tan Sri Munir.
Menurutnya, objektif utama program ini selain melaksanakan tanggungjawab sosial kepada masyarakat ia adalah untuk meringkankan beban khususnya kepada rumah jagaan anak-anak yatim bagi menyediakan kelengkapan persekolahan untuk sesi 2016 tidak lama lagi.
Program ini diadakan bagi memupuk dan mengeratkan perasaan kasih sayang (ukhuwah), tali persaudaraan sesama Muslim dan keperihatinan di antara kakitangan Bank Muamalat dengan insan-insan yang kurang bernasib baik.