BMMB Menyumbang Sebuah Van Jenazah Kepada Majlis Perbandaran Kota Bharu
Segala puji bagi Allah SWT serta selawat dan salam ke atas junjungan besar, Nabi Muhammad SAW, para sahabat dan seluruh ahli keluarga Baginda SAW. Marilah kita sama-sama merafakkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, kita masih lagi dipanjangkan umur, diberikan kesihatan yang baik serta dimurahkan rezeki.
Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT, Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB) melalui Tabung Mawaddah (TM) telah melaksanakan satu lagi Tanggungjawab Sosial Korporat dengan menyumbangkan sebuah van jenazah kepada Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) Bandaraya Islam, Kota Bharu, Kelantan. Ianya bertujuan untuk membantu dan melancarkan proses pengurusan jenazah di Daerah tersebut. Ia juga merupakan salah satu ibadah fardu kifayah yang bukan sahaja digalakkan malah dituntut dalam agama kita.
Alhamdulillah, van jenazah ini telah diserahkan sendiri oleh YBhg. Dato’ Haji Mohd Redza Shah Abdul Wahid kepada Yang Dipertua MPKB, Tuan Haji Adnan Bin Hussin dan disaksikan oleh Mantan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat. Majlis ini telah disempurnakan di perkarangan rumah Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat sendiri pada 21 Jamadil Akhir 1435H/21 April 2014.
Akhir kalam, semoga dengan adanya program seperti ini ia akan mewujudkan kesedaran kakitangan dalam memberikan sumbangan dan akhirnya membentuk masyarakat yang saling bantu membantu dan mengambil berat di antara satu sama lain. Semoga usaha kita ini mendapat kerahmatan dan keberkatan dari Allah SWT. Insya Allah.