Sambutan Hari Kebangsaan bersama Warga Muamalat: Malaysia Madani, Jiwa Merdeka
Kuala Lumpur, 21 Ogos 2024: Bank Muamalat hari ini menganjurkan Sambutan Hari Kebangsaan bersama Warga Muamalat peringkat Ibu Pejabat bertemakan Malaysia Madani, Jiwa Merdeka.
Sambutan ini telah diadakan di Laluan Warisan, Jalan Melaka yang turut disertai oleh Pengerusi Bank Muamalat, Yang Berbahagia Tan Sri Tajuddin Atan, FCB; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin; Ahli Lembaga Pengarah, dan pengurusan kanan Bank Muamalat dan hampir 600 warga kerja Bank Muamalat.
Lebih istimewa sambutan ini turut disertai oleh rakan media dari Kelab Met Harian Metro yang diketuai oleh presidennya, Riadz Radzi.
Selain perarakan Jalur Gemilang, menaikkan Jalur Gemilang dengan iringan lagu Negaraku dan bacaan ikrar, edaran 3,000 Jalur Gemilang di sekitar ibu kota telah dibuat dengan kerjasama Kelab Met Harian Metro.
Sambutan Hari Kebangsaan merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Bank Muamalat bagi meraikan Hari Kebangsaan dan menyemai semangat patriotik dalam kalangan masyarakat.
Tahun ini, selain sambutan di peringkat Ibu Pejabat, Bank Muamalat juga akan menganjurkan Karnival Merdeka: Kehidupan Lebih Baik, Bersama Bank Muamalat pada 30 Ogos sehingga 1 September bertempat di Stadium Hang Tuah, Melaka.
#KehidupanLebihBaikBersama
#MuamalatCares